"Afidzah! Afidzah!" Jerit seorang wanita separuh umur yang memakai uniform Puffing Billy. Suaranya hampir tenggelam apabila berselang-seli dengan letusan wap mirip bunyian 'puffin’ daripada keretapi wap Puffing Billy.
Beberapa saat lagi keretapi akan bergerak dari Belgrave menuju ke Gembrook. Hafizah yang sudah berada dalam koc melambai-lambai dari jauh. Nyaris Sa'adah dan Afid ketinggalan. Mereka berdua berlarian. Sejurus melangkah naik, hon dibunyikan dan perjalanan pun bermula.
Sebelum itu ...
Selepas bersarapan ringkas di Queen Victoria Market, kami ke Flinders Street Station untuk menaiki tren ke Belgrave. Tren laluan ke Frankston mengambil masa lebih kurang 20 minit sebelum kami turun di stesen Richmond. Pegawai di stesen Richmond memaklumkan kami perlu menaiki bas untuk ke stesen Camberwell sebelum menaiki tren di stesen itu untuk terus ke Belgrave.
Perjalanan dengan bas mengambil masa 40 minit dan kami tiba di Camberwell pada jam 11.15 pagi. Kemudian, perjalanan dengan tren bersambung lagi selama sejam sebelum tiba di stesen Belgrave. Stesen keretapi wap Puffing Billy terletak tidak jauh daripada stesen Belgrave.
Ramai penumpang lain mempunyai hala tuju yang sama. Kami ingin merasai pengalaman menaiki keretapi wap yang menjadi sebutan dan tarikan pengunjung ke Belgrave. Mungkin juga ingin melayan jiwa keanak-anakan dalam diri masing-masing.
Puffing Billy terletak 42km daripada Melbourne. Rel keretapi wap yang dibina pada 1900-an pernah dihentikan operasinya selepas berlaku tanah runtuh pada tahun 1953. Kemudian, ia dibuka semula secara berperingkat mulai tahun 1962.
Sebelum teknologi keretapi elektrik wujud, sistem keretapi dengan enjin wap telah membawa manusia ke banyak tempat. Kini, manusia di zaman moden menaiki keretapi wap sebagai satu aktiviti yang menyeronokkan.
Ada lagi 15 minit sebelum tren bergerak. Hafizah telah membeli tiket secara online sebelum kami bertolak ke Melbourne. Keretapi dijadualkan memulakan perjalanan pada jam 12.30 tengahari. Orang ramai beratur panjang untuk membeli tiket di kaunter. Cuti hujung minggu dan musim cuti sekolah begini ialah masa yang sesuai untuk keluar bergembira bersama keluarga dan rakan.
Kami tidak perlu beratur dan terus pergi ke kaunter khas untuk mengambil tiket. Pegawai kaunter memaklumkan semua tiket pada hari itu sudah habis dijual. Pengunjung di bahagian belakang mengeluh kerana tidak dapat menaiki Puffing Billy pada hari tersebut.
Lean belum muncul seperti dijanjikan. Kami tidak dapat menghubunginya. Tiketnya tidak boleh ditukar untuk trip seterusnya. Sementara Fizah menguruskan tiket, kami yang lain sempat bergambar di sekitar kawasan stesen.
Fizah cuba menjual tiket Lean kepada pengunjung yang berminat. Tetapi tidak ada yang mahu membeli kerana hanya sekeping tiket.
Fizah mengambil keputusan untuk meninggalkan tiket Lean di kaunter dengan harapan Lean muncul pada saat terakhir.
“Eh, keretapi dah nak jalan ni? Mana dia orang?” Afid risau.
Afid menyangka Fizah masih sibuk dengan tiket Lean. Yang lain tidak kelihatan. Hanya Sa’adah bersama dengannya.
“Kalau tak dapat jual tiket tu, biar saja. Nanti kita pula yang tertinggal keretapi.” Kata Afid lagi. Sa’adah bersetuju.
Sa’adah dan Afid berpusing-pusing mencari orang lain. Mereka hendak masuk ke dalam tetapi tiada tiket. Semua tiket dipegang Fizah.
Sewaktu hendak berpatah balik di tengah orang ramai untuk mencari yang lain buat kali kedua, terdengar nama Afid dijerit.
“Afidzah!”
Langkah Afid terhenti. Betul ke nama aku yang dijeritkan? Macam nama aku?
“Afidzah!” Apabila namanya semakin lantang dilaung berkali-kali, Afid menarik Sa’adah dan berlari sekuat hati menuju ke keretapi.
Kelihatan yang lain melambai-lambai dari dalam keretapi memberi isyarat naik dengan segera.
“Cepat! Cepat!” Termengah-mengah Afid dan Sa’adah kerana bimbang ditinggalkan. Meleset jangkaan mereka. Ingatkan yang lain hampir tertinggal keretapi, sebenarnya mereka berdua yang nyaris tidak dapat naik.
Kami yang lain memerhati dengan dada yang berdebar-debar. Azlean memang akan tertinggal tren kerana masih tidak muncul hingga sekarang. Sa'adah dan Afid hampir-hampir tertinggal tren juga. Puas Hafizah menjelaskan kepada pegawai Puffing Billy. Lega apabila mereka berdua dapat menaiki koc yang sama.
Perjalanan bermula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan