Fizah telah menempah pakej sehari ke Phillip Island secara online. Kami dikehendaki berkumpul di hadapan Holiday Inn, Flinders Lane pada jam 10.30 pagi. Kami berjalan kaki hampir 30 minit daripada hentian Melbourne CBD dan tercari-cari lokasi yang dijanjikan.
Jalan agak lengang pada pagi Ahad. Tidak ramai penduduk tempatan yang berada di bandar. Mungkin mereka masih berehat di rumah atau keluar dari Melbourne untuk meraikan Hari Easter.
Apabila berjalan kaki, kami dapat melihat dengan lebih dekat jalan-jalan dan lorong di kota Melbourne. Walaupun matahari sudah menjengah, angin pagi yang bertiup tetap terasa kedinginannya.
Kelihatan beberapa orang gelandangan yang masih tidur di dalam sleeping bag. Ada juga yang hanya berselubung dengan selapis selimut tebal buat menghangatkan badan. Berlindung di bawah jambatan atau kaki lima deretan kedai mungkin tempat yang paling selesa untuk mereka pada ketika ini.
Kami sampai ke Holiday Inn dan Arthur, pemandu pelancong sudah bersedia untuk membawa kami ke Phillip Island. Seramai 22 orang peserta termasuk kami bertujuh akan mengikuti trip ini. Arthur sendiri yang memandu bas mini pelancong. Dia memberi penerangan serba ringkas tentang tempat yang akan dikunjungi sepanjang hari.
Lebih kurang setengah jam perjalanan, Arthur memaklumkan kami akan melalui trek Formula 1. Grand Prix baru sahaja berakhir beberapa minggu lalu. Perjalanan diteruskan. Kemudian, Arthur berhenti selama 15 minit di McDonald, Cranbourne Park.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan