Jumaat, 7 Ogos 2015

Menginap di Coburg


Coburg, sub-bandar yang jaraknya hanya 10km daripada Lapangan Terbang Melbourne Tullamarine. Perjalanan selama 15 minit cukup singkat melalui freeway menuju ke rumah penginapan kami. Freeway ialah terma yang digunakan untuk lebuhraya bebas tol. Faiz, pemilik Tanamekar Homestay berkongsi sedikit sebanyak tentang Coburg dan kemudahan yang ada.

Faiz dan Nadirah, pasangan yang berasal daripada Malaysia sudah empat tahun menetap di Melbourne. Menyambung pengajian dan bekerja di sini. Mereka merancang pulang ke tanahair pada bulan Mei 2015.

Cuaca baik pada hari pertama kami sampai di Coburg. Trafik tidak sibuk. Menurut Faiz, kebanyakan warga tempatan sudah bercuti dan pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut Good Friday (3 April 2015) dan Easter Sunday (5 April 2015).

Setibanya di Tanamekar Homestay, kami makan hidangan ringkas sebelum bersiap untuk ke bandar Melbourne. Lokasi tempat penginapan kami sangat strategik. Berhampiran dengan stesen keretapi Coburg dan laluan tram no 19, hentian 31 Reynard Street.

Faiz menunjukkan lokasi perpustakaan awam Coburg. Sayangnya perpustakaan ditutup selama empat hari kerana cuti umum. Sehingga hari terakhir di Coburg, kami tidak berpeluang singgah kerana jadual ketat dan hendak bertolak ke Sydney.

Setiap pagi kami berjalan kaki lebih kurang 5 minit ke perhentian tram 31 untuk ke lokasi lain yang telah dirancang sepanjang percutian di Melbourne.

Umpama rusa masuk kampung lagaknya semasa kami melewati lorong dan deretan rumah di Coburg. Seni bina rumah yang klasik dan menggunakan batu bata merah menunjukkan Coburg sebuah penempatan yang sudah lama dibangunkan.

Sesekali kelihatan warga tempatan berbasikal di kawasan perumahan ini. Tidak banyak kenderaan yang diletakkan di kiri kanan jalan. Hanya kicauan burung dan detaran gerabak keretapi yang memecah kesunyian pagi di Coburg.


Pada suatu pagi, seorang perempuan warga emas yang sedang berada di anjung rumahnya memberi ucapan salam kepada kami. Sesungguhnya ia ungkapan yang universal dan bermakna bagi orang Islam. Dia tersenyum melihat kami bertujuh dan melambai tangan sebagai tanda perkenalan.

Pada pagi yang lain, seorang lelaki tempatan memberi laluan kepada kami sebelum memarkir kereta di halaman rumah. Dia sedang bercakap di telefon. Dia menoleh ke arah kami. Mungkin penampilan kami yang bertudung menarik perhatiannya. Sempat juga salah seorang daripada kami mengucapkan terima kasih kepadanya.

Di malam hari, hanya kelihatan beberapa rumah terpasang lampu di sepanjang jalan menuju ke homestay. Semasa pulang lewat selepas perjalanan ke Phillip Island, seorang lelaki berusia lewat 40-an menegur kami. Dia pernah ke Kuala Lumpur sebelum ini dan mengakui suka datang ke Malaysia. Sebelum berpisah di hujung jalan, dia mengucapkan selamat bergembira sepanjang percutian kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan