Malam Sabtu begini cafe dan pub penuh dengan pengunjung. Dari luar sebuah pub, kami dapat mendengar keriuhan mereka yang menonton perlawanan bola sepak di dalamnya. Masih banyak kenderaan di jalan raya tetapi tiada kesesakan lalu lintas.
Malam Sabtu ini cukup istimewa kerana fenomena gerhana bulan berdarah atau blood moon dapat disaksikan dengan jelas di sebahagian besar kawasan timur Australia. Kami tiba di Federation Square lebih kurang jam 9.30 malam. Orang ramai sudah mula duduk di tetangga besar. Ada yang minum di cafe berhampiran.
Di ruang terbuka tempat kami bersantai, kami dapat melihat dengan jelas bulan penuh di dada langit. Menurut kajian astronomi, kitaran gerhana bulan berlaku dalam tempoh tiga jam setengah mulai pukul 9.16 malam hingga 12.45 malam. Kemuncaknya adalah pada jam 10:58 hingga 11.03 malam apabila bulan terlindung sepenuhnya di sebalik bayangan bumi.
Burung-burung merpati putih berterbangan dan sesekali hinggap di tangga. Haiwan yang jinak ini tidak menghiraukan kumpulan manusia yang berlegar-legar di Federation Square. Mungkin mereka juga sebahagian makhluk Tuhan yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan fenomena alam yang jarang terjadi.
Pada 8 Oktober 2014 telah terjadi fenomena blood moon yang dapat dilihat dengan jelas di Australia. Selepas kitaran pada 4 April 2015, fenomena serupa hanya akan berulang pada 31 Januari 2018.
Kami duduk berehat di salah satu anak tangga di Federation Square. Sementara menunggu, Yati, Oshin dan Hafizah masuk ke 7 Eleven untuk menambah nilai kad Myki dan membeli air mineral dan snek.
Pasangan muda-mudi berpeleseran. Pasangan yang lebih berusia berpegangan tangan. Ada juga ibu bapa yang datang bersama anak-anak lewat malam begini kerana tidak mahu melepaskan peluang melihat kejadian gerhana bulan berdarah.
Kelihatan seorang lelaki dengan kamera DSLR berjenama Canon tidak jauh dari tempat kami duduk. Seperti kami, dia sabar menanti. Diam-diam dia menikmati semangkuk mi sup yang masih panas. Kami pula terbayang coklat dan kopi. Sungguh enak rasanya jika dapat menikmati secawan minuman panas di kala malam yang semakin dingin.
Masa berlalu begitu pantas. Kami berbual kosong. Ralit melihat orang ramai yang lalu lalang. Sesekali hanya melayan perasaan. Jauh daripada tanahair membuatkan kami lupa sebentar tentang kesibukan dan tekanan kerja.
Sedikit demi sedikit bulan mula hilang dari pandangan. Perlahan-lahan bentuk bulan sabit semakin tajam dan menghalus. Bayangan bulan kemerah-merahan dapat dilihat di langit yang gelap. Hal ini terjadi kerana biasan matahari di penghujung lindungan bumi yang menutupi bulan.
Mata menjadi saksi. Sayangnya, kejadian ini tidak dapat kami rakamkan di lensa kerana kamera yang dimiliki tidak mampu mengambil gambar dengan jarak yang terlalu jauh.
Lelaki tadi memetik punat kamera beberapa kali. Dia menunjukkan kepada kami gambar yang diambil. Dia berjaya merakam gambar bulan sabit pada minit-minit terakhir sebelum gerhana penuh terjadi.
“Subhanallah.” Azwa terharu.
Hatinya berbunga-bunga kegembiraan kerana dia tidak pernah melihat gerhana bulan sebelum ini.
Detik itu dirasakan istimewa kerana sahabat baiknya di Malaysia turut sama menyaksikan gerhana bulan. Cuma lokasi yang membezakan mereka. Dia di Australia, sahabatnya di Malaysia. Azwa mengetahui perkara itu kerana mereka sama-sama meletakkan status di Facebook mengenai saat-saat gerhana bulan berlaku.
‘Aku di sini.
Kau di sana.
Kita memandang bulan yang sama.’
Kejadian gerhana bulan dan matahari menunjukkan kebesaran Allah yang Maha Esa. Umat Islam mendirikan solat sunat gerhana sebagai tanda syukur dan beriman kepada keagungan-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan