Khamis, 8 Oktober 2015

Kembara Afghanistan oleh Travelog ET


Sampai sahaja di rumah, saya mula membaca Kembara Afghanistan yang ditulis oleh Siti Noridah. Beliau mengembara secara solo ke Afghanistan pada bulan November 2014. 

Membaca travelog ini seolah-olah penulis bercerita dengan saya. Tidak langsung berasa bosan sehingga mukasurat yang terakhir.

Tahniah Siti! Anda sungguh cekal dan berani melalui pengalaman yang unik dan mencabar. Walaupun saya tidak sampai ke negara yang mempunyai sejarah peperangan ini, saya dapat merasakan detik-detik cemas yang dialami Siti semasa berada di sana.

Saya sendiri tidak akan sampai ke Afghanistan. Siti telah menceritakan sisi Afghanistan melalui pengalaman yang beliau lalui. Beberapa gambar yang disisipkan menunjukkan keindahan bumi Afghanistan. Gunung, gurun dan tasik sebagai bukti kebesaran Ilahi. Dan tapak monumen yang musnah akibat kerakusan tangan manusia.

Terima kasih Siti kerana merakamkan pengalaman yang berharga dan saya dapat membacanya. Saya ingin bertemu Siti dan mendengar lebih banyak cerita kembara anda.

Saya percaya ada banyak lagi kisah yang tidak dapat dimuatkan dalam buku ini. Namun, naskhah ini cukup untuk membuatkan pembaca 'mengembara menerusi ayat demi ayat' seperti yang dinyatakan di bahagian awal buku.

Walau di mana pun pengembara itu pergi, dia tetap rindukan tanah airnya. Apabila berada jauh di tempat yang asing, kita akan membuat perbandingan apa yang kita miliki di Malaysia.

Pengalaman itu amat bernilai harganya sama ada kita pergi ke negara yang membangun, negara yang mundur, negara jiran atau negara yang tidak kita fahami bahasanya.

Kembara Afghanistan boleh anda dapatkan daripada Our Touch Community. Sebahagian daripada hasil jualan akan disalurkan kepada dana Our Touch.

Di sebelah kanan, adalah travelog saya dan Noor Hayati Yasmin ke Melbourne dan Sydney dalam Sepuluh Hari. Anda juga boleh memesan buku ini. Sebahagian hasil jualan sehingga 31 Oktober 2015 juga akan disalurkan kepada dana Our Touch.

Isnin, 5 Oktober 2015

Melbourne dan Sydney dalam Sepuluh Hari di Mingguan Malaysia


Terus sahaja saya mendapatkan akhbar Mingguan Malaysia apabila rakan memberitahu buku Melbourne dan Sydney Dalam Sepuluh Hari tersenarai di ruangan buku baharu Mingguan Malaysia.

Semasa menerima maklumat ini, saya di Kuala Lumpur untuk menghantar anak saudara saya berlepas ke Alexandria, Mesir untuk menyambung semester pengajian setelah bercuti selama dua bulan. Berada di KLIA membuatkan saya teruja untuk merancang perjalanan seterusnya. Insya Allah.

Selepas menghantar beliau, kami singgah ke Mitsui Outlet Park yang terletak berhampiran KLIA dan KLIA2. Tidak sampai sepuluh minit kami sudah sampai ke Mitsui Outlet Park. Pusat membeli-belah Mitsui ini adalah yang pertama di Asia Tenggara. Ia dimiliki oleh sebuah syarikat berasal dari Jepun.

Jika anda tidak memandu, boleh menggunakan perkhidmatan tren KLIA Transit atau ERL daripada KL Sentral dan berhenti di KLIA. Kemudian, naik shuttle bas yang disediakan daripada KLIA ke Mitsui Outlet Park.


Pelbagai kedai jenama barangan popular ada di sini. Susunan lebih teratur berbanding Johor Premium Outlet yang terletak di Kulai.

Ruang pejalan kaki luas. Puas si kecil berlari-larian di hadapan kedai dan ruang umum. Bagi ibu bapa yang membawa anak kecil, anda tidak perlu risau tentang ruang. Namun, sentiasa berhati-hati dan usah lepa dengan anak anda yang teruja bermain di ruang yang luas itu terutamanya di tingkat atas.

Bagi yang gemarkan barangan jenama, boleh datang ke Mitsui Outlet Park. Mungkin anda dapat membeli barang yang diidamkan dengan harga diskaun.

Jumaat, 2 Oktober 2015

Like Facebook Page Melbourne dan Sydney dalam Sepuluh Hari

Kami akan kongsikan gambar-gambar menarik sepanjang kami berada di Melbourne dan Sydney pada April 2015.

Sebahagian besar gambar ini terdapat dalam buku Melbourne dan Sydney dalam Sepuluh Hari.

Like Facebook Page kami di sini.

Khamis, 17 September 2015

MSDSH di Kedai Projek Buku, Kilang Bateri Johor Bahru


Alhamdulilah. Jerebu yang berkurangan di Johor Bahru. Banyak tempat yang masih menghadapi masalah jerebu. Daerah-daerah di negara jiran merekodkan IPU sehingga 1000!

Aduh. Bagaimana keadaan mereka di sana? Tentunya tidak boleh keluar rumah langsung. Entah-entah duduk di dalam rumah pun terasa sesak nafas.

Tengahari tadi sempat mengunjungi Kilang Bateri. Oh... apa itu Kilang Bateri?

Kilang Bateri ini adalah bangunan kilang yang telah diubahsuai untuk menempatkan peniaga-peniaga indie atau alternatif gitu. Ramai peniaga di sini mempunyai followers yang setia di Instagram atau Facebook.

Menarik konsepnya. Saya pun jatuh hati :)

Yang menarik lagi, buku MSDSH akan dijual di salah sebuah kedai di sini. Kedai Projek Buku. Kedai ini diusahakan oleh beberapa anak muda yang inovatif dan komited untuk berkongsi buku-buku yang hebat dan berkualiti kepada khalayak.

Sesiapa yang berada di Johor Bahru, boleh singgah ke Kilang Bateri di No 83, Jalan Tampoi, 81200 Johor Bahru, Johor. Cari Taman Damansara Alif. Anda akan nampak papan tanda Kilang Bateri di situ.

Walaupun namanya masih dikekalkan, tiada sebarang aktiviti perkilangan di Kilang Bateri ini.

Follow IG Projek Buku di @projekbuku dan dapatkan buku MSDSH sebagai koleksi travelog yang mesti dimiliki.... chewaaaahhhh


Isnin, 14 September 2015

MSDSH di MPH, Kinokuniya dan Borders


Dalam masa seminggu hingga dua minggu, buku Melbourne dan Sydney dalam Sepuluh Hari (MSDSH) akan berada di rak-rak kedai buku terpilih. Antaranya MPH Bookstores, Kinokuniya dan Borders.

Sementara menunggu ia berada di kedai buku, boleh pesan melalui laman blog ini, klik pada sebelah kiri untuk bayaran menggunakan Paypal. Atau buat pesanan melalui Borang Pesanan. Buku akan dihantar terus kepada anda.

Buku MSDSH sampai ke tangan Dato' Siti Nurhaliza dan Tun Dr. Mahathir


11 September. Atau 9/11 terpahat dalam sejarah kerana peristiwa pahit yang berlaku di Amerika.
Namun, tarikh ini pada tahun ini menjadi suatu detik manis kerana saya dapat bertemu dua orang tokoh ternama.
Panggilan telefon pada pagi Selasa daripada seorang yang sangat saya hormati dan kemudian menjemput saya ke Majlis SAHOCA tidak dapat saya tolak.
Minggu ini adalah minggu ketiga berturut-turut saya datang ke KL. Letih. Tapi saya tak akan merungut dan menggantikan ia dengan mana-mana pengalaman lain.
Tak sempat saya nak berdebar-debar atau apa jua perasaan lain kerana batuk yang belum berkurangan. Sahabat saya Haiza Hamid yang menemankan saya untuk makan malam semalam meyakinkan saya untuk bertemu dua orang tokoh ini.
Dato' Siti Nurhaliza. Alahai lembutnya tutur bahasa. Lawa dan manis. Kebaya moden warna hijau zamrud yang dipadankan dengan skirt hitam menyerlahkan penampilan. Apatah lagi beliau menyampaikan lagu Lagenda yang didedikasikan kepada Tun Dr Mahathir.
Saya serahkan buku Melbourne dan Sydney dalam Sepuluh Hari kepada beliau. Besar harapan kami penulis, beliau gembira membacanya.

Tun Dr Mahathir. Tokoh yang diraikan malam tadi. Menyambut ulangtahun ke-90 dan Tun Dr Siti Hasmah, ulangtahun ke-89. Masih kuat berdiri dan sungguh 'sporting' Tun M menyanyikan sebuah lagu bahasa Inggeris sebagai hiburan malam tadi.
"Saya bersyukur pada usia ini saya ditemani rakan-rakan yang baik. Dapat berdiri dan berucap di hadapan kalian."
Apabila saya menyapa beliau dan menyerahkan buku yang saya tulis bersama Dr, terlihat senyuman di wajahnya. Beliau sempat menyelak beberapa mukasurat dan mengucapkan terima kasih. Saya tidak menyangka dapat menyampaikan sendiri buku kami kepada seorang pemimpin dan seorang penulis besar seperti beliau.
"Siapa yang hendak baca memoir yang saya tulis setebal 800 mukasurat? Sakit muka bila buku memoir terlepas dari tangan apabila membacanya di atas katil." Tun M berseloroh semasa menyampaikan ucapan.
Ya. Mungkin benar. Namun, tanpa memoir kita takkan mengenali pemimpin ini dengan lebih dekat.
Buku MSDSH baru sahaja berusia dua minggu. Sungguh istimewa buku ini kerana ia menemukan saya dengan dua tokoh ternama. Siapa yang tak mahu jumpa Siti Nurhaliza? Saya ada berangan-angan. Kali ini, dapat jumpa dan dapat beri hadiah hasil penulisan sendiri.
Buat sahabat penulis Noor Hayati Yasmin dan sahabat kembara, Azlean Norzan Hafizah ZA WaWa Is Fieza Afid dan Nur Oshin buku kita dah sampai ke tangan mereka.
Dan buku kita akan sampai ke tangan para pembaca dengan lebih meluas lagi. Insya Allah.
Credit gambar: Haiza

Khamis, 10 September 2015

Apa pembaca kata mengenai MSDSH

Baru dua minggu berada di pasaran. Buku ini belum masuk kedai buku. Insya Allah dalam perancangan ia akan mula dijual di rangkaian kedai buku dalam sedikit masa lagi :)

Pada asalnya, niat kami menulis buku ini adalah menjadikan ia saguhati istimewa buat keluarga dan teman yang tidak dapat pergi ke Melbourne dan Sydney. Ia suatu projek yang menyeronokkan. Mengimbau kembali perjalanan kami selama sepuluh hari di kedua-dua bandar utama di Australia.

Kami susun cerita dan gambar-gambar yang menarik untuk dibukukan. Bila siap manuskrip, kami pilih kertas yang berkualiti untuk cetakan. Supaya pembaca rasa berbaloi memegang dan memiliki buku ini.

Kami kongsikan apa yang pembaca kata mengenai MSDSH:



Terima kasih kerana sudi memiliki buku ini. Untuk membuat pesanan sila klik http://bit.ly/msdsh1 atau buat pesanan melalui Paypal. Butang Paypal ada di sebelah kiri blog ini. 

Isnin, 7 September 2015

MSDSH membuatkan hati penerima berbunga-bunga

Salah seorang penerima MSDSH yang bertuah telah mengirimkan gambar buku berlatar bunga-bunga yang indah di tamannya.


Hati kami turut berbunga-bunga melihat penghargaan pembaca kepada buku ini. Semoga Puan Suzaila gembira dengan naskhah ini dan mendapat maklumat dan kisah yang bermanfaat daripada buku ini.

Khamis, 3 September 2015

50 Unit MSDSH telah dihantar kepada pembaca dalam masa 5 hari

Terima kasih kepada pembaca terawal yang menjadi antara 50 orang yang menerima buku Melbourne dan Sydney dalam Sepuluh Hari.

MSDSH merakamkan kenangan perjalanan kami  bertujuh ke Melbourne dan Sydney dalam Sepuluh Hari. Antara tempat menarik yang kami lawati ialah:

Great Ocean Road
Belgrave untuk menaiki Puffing Billy
Phillip Island untuk melihat koloni Little Penguin
Blue Mountains National Park
Sydney Fish Market
Sydney Harbour
dan banyak lagi tempat yang meninggalkan kenangan manis buat kami semua.

MSDSH mengandungi 100 mukasurat bergambar dengan warna penuh dan dicetak menggunakan kertas yang berkualiti.

Ingin menjadi sebahagian daripada pengalaman kami dengan mendapatkan buku ini?

Pesan buku dengan klik sini. Kami akan hantarkan buku kepada anda setiap hari Isnin.


Isnin, 31 Ogos 2015

Buku Melbourne dan Sydney dalam Sepuluh Hari


Lepas beli tiket ke Kuala Lumpur ke Aidelaide dan Sydney ke Kuala Lumpur tahun lalu, kami sudah memasang angan-angan untuk menghasilkan travelog kedua-dua bandar di Australia. Tak lama selepas itu, Air Asia menghantar notis pembatalan 'route' ke Aidelaide. AA menawarkan pertukaran penerbangan ke Aidelaide dengan mana-mana penerbangan ke/dari Perth atau Melbourne.

Selepas kami bertujuh berbincang, akhirnya kami memilih Melbourne. Pada mulanya agak kecewa dengan perubahan ini. Namun, kami berfikiran terbuka dan bersedia untuk mengunjungi tempat menarik di Melbourne.

Ternyata ia sangat berbaloi. Melbourne, sebuah bandar yang dikatakan paling selesa diduduki memberi kenangan manis buat kami. Sehinggakan salah seorang rakan kami telah kembali ke Melbourne kurang dua bulan selepas pulang ke Malaysia. Hebat sungguh penangan kota Melbourne. Apakah yang membuatkan beliau kembali?

Kami sempat mengikuti trip ke Great Ocean Road yang telah dikunjungi jutaan pelancong dalam dan luar Australia. Kami melihat koloni Little Penguin di Phillip Islands. Walaupun dalam kedinginan, tetapi kami seronok. Sehinggakan terhasil sebuah sketsa berdasarkan pemerhatian kami terhadap koloni penguin yang comel ini.

Apa pula yang kami alami di Sydney?

Sydney terletak di New South Wales dan suhunya lebih tinggi berbanding di Melbourne. Jadi tidak perlu risau kerana cuacanya yang sederhana. Kota yang padat ini masih mengekalkan bangunan penting yang berusia puluhan malah lebih seratus tahun.

Berjalan seharian dari Circular Quay hinggalah ke pelosok kota agak memenatkan. Namun berbaloi. Dari Sydney, kami menaiki keretapi untuk ke pekan Katoomba. Pencinta alam dan pendaki akan berhenti di sini untuk pergi ke Blue Mountains National Park.

Pekan Katoomba yang terletak pada ketinggian lebih 3000 kaki dari aras laut mempunyai sejarahnya tersendiri. Dari situ kami menaiki bas Blue Mountains Explorer Hop On Hop Off untuk berhenti di beberapa checkpoint terpilih di Blue Mountains.

Tidak cukup dengan itu, kami sakan membeli-belah di Paddy's Market untuk membawa pulang cenderahati buat keluarga dan kenalan di Malaysia.

Kami mula menulis pengalaman di kedua-dua bandar ini untuk tujuan diterbitkan sebagai naskhah penuh. Selepas empat bulan, akhirnya ia berada di tangan. Sebuah 'album' yang penuh kisah di Melbourne dan Sydney selama sepuluh hari.

Terimalah ... Melbourne dan Sydney dalam Sepuluh Hari.

Bersedia menemui pembaca, 240 mukasurat dengan lebih 100 mukasurat bergambar. Untuk membuat pesanan, mohon isi Borang Pesanan dan kami akan hantar buku kepada anda pada hari Isnin. Buku akan sampai ke tangan anda dalam masa 3 hari bekerja.

Atau beli melalui Paypal dengan klik di bahagian kiri blog ini.

Ahad, 9 Ogos 2015

Menaiki Helikopter untuk Meninjau Twelve Apostles


Twelve Apostles ialah koleksi susunan batu kapur di pantai Port Campbell National Park di Great Ocean Road, Victoria. Buat masa sekarang terdapat lapan 'apostles'. Apostle kesembilan telah runtuh pada 3 Julai 2005.

Apostles terhasil daripada proses penghakisan dek cuaca ekstrem di kawasan ini. Pada mulanya ia dikenali dengan nama Sow and Piglets sehingga pada tahun 1922 diubah kepada 12 Apostles. Kadar penghakisannya pada dasar batu kapur lebih kurang 2 cm setahun.

Batu pelbagai bentuk. Manusia datang ke sini semata-mata kerana mahu melihat batu. Itu yang pelik.
Kami sampai di 12 Apostles dengan harapan melihat matahari terbenam. Namun hasrat tidak kesampaian kerana hujan yang turun dan awan tebal.

Waktu begini terkenang cahaya matahari di Malaysia. Semasa di tanahair tercinta, asyik mengeluh kerana cuaca panas. Di sini, rasa tak tertahan dengan dinginnya udara. Ditambah hujan renyai-renyai. Begitulah manusia, tak pernah puas dengan apa yang ada.

Kami beransur ke tempat penginapan iaitu Port Campbell Hostel dengan hati yang berat bersama janji kami akan kembali keesokan harinya.

Kami mengunjungi 12 Apostles kali kedua dengan hati yang mercup kegembiraan. Hari yang bagus. Cuaca cerah, elok dan sempurna untuk sesi selfie dan wefie.

Jude menawarkan pakej melihat 12 Apostles dari udara iaitu dengan menaiki helikopter.
"Ini tawaran hebat. Kamu akan dapat diskaun kalau dapatkan pakej melalui saya."

Kami berpandangan. Tawaran Jude sukar ditolak. Bayaran yang dikenakan sebanyak AUD95. Mahal yuran yang dikenakan untuk menaiki helikopter. Apatah lagi meninjau 12 Apostles dari udara. Namun berkali ganda hebat perjalanan yang bakal ditempuhi. Pengalaman yang tidak dapat ditukar ganti dengan wang.

Sa'adah teringin menaiki helikopter. Pertama, dia tidak pernah menaiki helikopter seumur hidup. Kedua, dia mahu melihat 12 Apostles daripada udara. Masalahnya, dia risau untuk naik seorang diri.

Akhirnya Yati setuju menemankan Sa'adah. Yati mempunyai pengalaman menaiki helikopter kerana urusan kerja di hospital. Tetapi kali ini pasti sangat berbeza. Lebih-lebih lagi menaiki helikopter di bumi asing iaitu di Australia.


Penerbangan dan pemandangan Twelves Apostles selama 10 minit dirakamkan sebagai kenangan. Kisah penuh semasa penerbangan kami kongsikan dalam buku Melbourne dan Sydney dalam Sepuluh Hari.

Pembaca dapat menonton video rakaman dengan pautan yang diberi dalam buku MSDSH.

Tips membeli-belah dengan senang hati


Oshin membeli-belah seakan-akan tiada hari esok. Kami kagum setiap kali Oshin membeli barang. Ambil dan bayar.

Sebenarnya ada rahsia bagaimana Oshin dapat berbelanja secara gaya bebas di Sydney dan Melbourne. Perkara ini kami ketahui apabila kami mengorek rahsia shopping daripada Oshin.
Ilmu membeli-belah daripada Oshin boleh dipraktikkan oleh orang lain. Oleh sebab itu kami berbesar hati berkongsi tips membeli-belah yang diamalkan Oshin.

1. Menetapkan tujuan ke satu-satu destinasi

Apabila pergi ke satu-satu tempat, kenal pasti tujuan berkunjung ke tempat itu. Apakah tarikan tempat itu?

Mahu membeli-belah atau melihat pemandangan?

Jika kita tahu tujuan ke satu-satu tempat, kita boleh tentukan apa yang mahu kita lakukan di situ. Contohnya kita ke Queen Victoria Market. Mahu berjalan-jalan atau membeli-belah?

Jika berniat membeli barangan yang dijual, kita akan menyediakan peruntukan yang diperlukan. Tetapi sekiranya hajat ke sana hanya untuk berjalan-jalan melihat persekitaran, tidak perlu berbelanja di sana.

2. Bajet untuk shopping

Ketepikan peruntukan bajet untuk membeli-belah daripada duit gaji yang diperoleh setiap bulan beberapa bulan sebelum kita melancong ke satu-satu destinasi.

Kita tentukan berapa banyak bajet shopping yang kita mahu gunakan untuk berbelanja semasa percutian. Daripada situ, kita buat pecahan berapa bulan kita perlu menyimpan sebelum tarikh percutian.

Contohnya tiga atau enam bulan sebelum tarikh lawatan, kita sudah menyimpan 10 peratus daripada pendapatan bulanan untuk bajet shopping.

Duit yang diperuntukkan untuk bajet shopping disimpan dalam akaun khas dan tidak dikeluarkan atau dibelanjakan untuk tujuan lain.

Berapa banyak duit yang perlu disimpan setiap bulan untuk akaun khas ini bergantung kepada berapa banyak anda mahu berbelanja semasa membeli-belah sewaktu percutian. Ianya bergantung kepada gaji dan tempoh anda membuat simpanan.

3. Akaun khas untuk membeli-belah

Gunakan akaun yang mempunyai kad untuk membuat simpanan bajet shopping.

Apabila kita berbelanja semasa tempoh percutian, kita gunakan debit kad akaun tersebut.

Penggunaan kad debit bagi memastikan kita hanya berbelanja dalam jumlah yang kita mampu kerana kita akan menggunakan duit yang ada dalam akaun sahaja. Duit itu ialah duit yang kita simpan lebih awal sebelum percutian.

Katakan kita mempunyai jumlah sebanyak RM2000 dalam akaun tersebut. Kita tahu kita hanya boleh membeli-belah dengan nilai sebanyak RM2000 dan tidak lebih daripada nilai itu.

4. Guna kad debit, elakkan kad kredit

Tidak digalakkan menggunakan kad kredit. Penggunaan kad kredit bermakna kita berhutang dengan pihak bank yang mengeluarkan kad kredit. Kita harus membayar semula bayaran kad kredit selepas habis percutian.

Jika menggunakan kad debit, kita tidak perlu membayar selepas selesai percutian kerana kita menggunakan duit yang sedia ada dalam akaun. Tidak seronok bukan jika kita terbeban menyelesaikan hutang-piutang kad kredit selepas tamat percutian?

Satu lagi, penggunaan kad kredit boleh mendorong seseorang menjadi boros berbelanja. Seseorang individu mungkin berbelanja sehingga mencapai had maksimum yang dibenarkan.

Katakan kad kredit kita mempunyai had limit RM15,000, tanpa sedar kita boleh berbelanja banyak kerana amat mudah menggunakan kad kredit. Hulur kad, leret pada mesin dan turunkan tanda tangan di slip.

Percutian boleh mendorong seseorang menjadi seorang 'shopaholic' sebagaimana yang terjadi pada Yati. Mujur Yati tidak boros berbelanja dengan kad kredit yang dimilikinya.

Boleh amalkan tips ini supaya senang hati berbelanja ketika melancong. Oshin ada berkongsi beberapa tips lagi yang menarik dan praktikal. Satu bab khas ditulis untuk tips berbelanja dalam buku Melbourne dan Sydney dalam Sepuluh Hari.

Suka dengan tips yang kami kongsikan?
Ingin tahu lebih banyak tentang Melbourne dan Sydney serta tips-tips lain?

Boleh dapatkan dengan membuat pre-order buku MSDSH.

Dibuka untuk Pre-Order

Pengalaman di Melbourne dan Sydney kami rakamkan sepenuhnya dalam buku ini. Bakal terbit akhir bulan Ogos 2015. Ingin baca keseluruhan perjalanan kami? 

Boleh pre-order di bit.ly/msdsh1 dan hadiah misteri untuk 30 orang pembeli pertama menanti anda. 

Atau hubungi duapenulis@gmail.com

Jumaat, 7 Ogos 2015

Previu Melbourne dan Sydney dalam Sepuluh Hari


Maru Animal Farm


Lokasi pertama kami ialah Maru Animal Farm. Kami makan tengahari dengan bekalan yang Arthur bawa sebelum masuk ke dalam taman haiwan Maru. Sandwich telur dan sayur, biskut, milo panas dan coklat cukup untuk mengalas perut.

Seorang lelaki pertengahan umur menegur kami. Beliau memperkenalkan dirinya dan menghulurkan kad nama. Ramah orangnya. Terdetik di hati, jumpa juga orang kita di tempat asing. Siapakah beliau?

Di sini kali pertama kami berjumpa Dato' Hj Rahman. Beliau ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Rahman Brothers. Ringan mulut beliau menceritakan perihal bisnes di tanahair dalam bidang automotif, pelancongan dan umrah. Begitulah sikap usahawan yang berjaya. Di mana-mana sahaja tidak bosan untuk berkongsi apa yang beliau lakukan.

Selepas berbual ringkas, kami mengikut haluan masing-masing. Kami tidak sabar untuk melihat dengan lebih dekat koala yang popular di seluruh dunia.

Koala haiwan yang terkenal kerana sifatnya yang pasif. Haiwan ini boleh tidur sehingga 22 jam sehari. Hanya bangun untuk makan.

Daisy, salah seekor koala di Maru Animal Farm baru sahaja bangun daripada tidur. Jurucakap menerangkan koala adalah sejenis haiwan yang hanya makan daun eucalyptus. Oleh sebab itu koala tidak banyak bergerak kerana daun eucalyptus membekalkan jumlah nutrien yang sedikit sahaja untuk keperluan tenaganya.

Seharian Menuju Phillip Island

Fizah telah menempah pakej sehari ke Phillip Island secara online. Kami dikehendaki berkumpul di hadapan Holiday Inn, Flinders Lane pada jam 10.30 pagi. Kami berjalan kaki hampir 30 minit daripada hentian Melbourne CBD dan tercari-cari lokasi yang dijanjikan.

Jalan agak lengang pada pagi Ahad. Tidak ramai penduduk tempatan yang berada di bandar. Mungkin mereka masih berehat di rumah atau keluar dari Melbourne untuk meraikan Hari Easter.

Apabila berjalan kaki, kami dapat melihat dengan lebih dekat jalan-jalan dan lorong di kota Melbourne. Walaupun matahari sudah menjengah, angin pagi yang bertiup tetap terasa kedinginannya.

Kelihatan beberapa orang gelandangan yang masih tidur di dalam sleeping bag. Ada juga yang hanya berselubung dengan selapis selimut tebal buat menghangatkan badan. Berlindung di bawah jambatan atau kaki lima deretan kedai mungkin tempat yang paling selesa untuk mereka pada ketika ini.

Kami sampai ke Holiday Inn dan Arthur, pemandu pelancong sudah bersedia untuk membawa kami ke Phillip Island. Seramai 22 orang peserta termasuk kami bertujuh akan mengikuti trip ini. Arthur sendiri yang memandu bas mini pelancong. Dia memberi penerangan serba ringkas tentang tempat yang akan dikunjungi sepanjang hari.

Lebih kurang setengah jam perjalanan, Arthur memaklumkan kami akan melalui trek Formula 1. Grand Prix baru sahaja berakhir beberapa minggu lalu. Perjalanan diteruskan. Kemudian, Arthur berhenti selama 15 minit di McDonald, Cranbourne Park.

Menyaksikan Gerhana Bulan Berdarah (Bhg. 3)


Menyaksikan sendiri gerhana bulan berdarah di daerah ini adalah suatu detik yang amat bermakna dalam percutian kami. Benarlah, kamu tidak akan tahu apa yang akan kamu alami apabila tiba di negeri orang. Buka hati. Buka minda.

Malam semakin lewat. Bibir mengucap tasbih, memuji Ilahi. Sekali lagi menguatkan keimanan di dalam jiwa, agar tidak lupa kita ialah hamba-Nya. Orang mula beransur pulang atau meneruskan agenda masing-masing.

“Yati, minta emel mamat yang ambil gambar bulan tadi.” Pinta Lean.

Terkejut Yati mendengar permintaan Lean. “Kau yang nak berkenalan dengan dia, minta la sendiri emel dia. Kenapa aku pula kena jadi orang tengah.”

Yati melihat lelaki berkamera itu. Biasa saja orangnya. Apa yang membuatkan Lean tiba-tiba tertarik hati dengan lelaki ini.

“Ish, aku bukan nak berkenalan dengan dia. Aku nak minta dia emel gambar bulan yang dia ambil pada kita.” Balas Lean.

“Oh!” Yati sudah salah sangka rupanya.

“Minta la sendiri. Segan aku nak minta.”

Kami bertolak-tolak siapa yang patut bersuara meminta alamat emel lelaki itu. Akhirnya tidak ada siapa yang membuka mulut menyuarakan permintaan tersebut hingga lelaki itu beredar dari situ.

Kami menyeberang jalan untuk ke hentian tram di Flinders Street Station. Ternyata malam ini Melbourne tidak kesunyian. Ramai orang beratur di pintu masuk Melbourne Arts Centre yang terletak tidak jauh dari Federation Square.

Mereka menanti slot komedi oleh seorang ahli komedi profesional. Ini merupakan salah satu persembahan yang mendapat perhatian sempena Melbourne International Comedy Festival.

Menyaksikan Gerhana Bulan Berdarah (Bhg. 2)

Malam Sabtu begini cafe dan pub penuh dengan pengunjung. Dari luar sebuah pub, kami dapat mendengar keriuhan mereka yang menonton perlawanan bola sepak di dalamnya. Masih banyak kenderaan di jalan raya tetapi tiada kesesakan lalu lintas.

Malam Sabtu ini cukup istimewa kerana fenomena gerhana bulan berdarah atau blood moon dapat disaksikan dengan jelas di sebahagian besar kawasan timur Australia. Kami tiba di Federation Square lebih kurang jam 9.30 malam. Orang ramai sudah mula duduk di tetangga besar. Ada yang minum di cafe berhampiran.

Di ruang terbuka tempat kami bersantai, kami dapat melihat dengan jelas bulan penuh di dada langit. Menurut kajian astronomi, kitaran gerhana bulan berlaku dalam tempoh tiga jam setengah mulai pukul 9.16 malam hingga 12.45 malam. Kemuncaknya adalah pada jam 10:58 hingga 11.03 malam apabila bulan terlindung sepenuhnya di sebalik bayangan bumi.

Burung-burung merpati putih berterbangan dan sesekali hinggap di tangga. Haiwan yang jinak ini tidak menghiraukan kumpulan manusia yang berlegar-legar di Federation Square. Mungkin mereka juga sebahagian makhluk Tuhan yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan fenomena alam yang jarang terjadi.

Pada 8 Oktober 2014 telah terjadi fenomena blood moon yang dapat dilihat dengan jelas di Australia. Selepas kitaran pada 4 April 2015, fenomena serupa hanya akan berulang pada 31 Januari 2018.
Kami duduk berehat di salah satu anak tangga di Federation Square. Sementara menunggu, Yati, Oshin dan Hafizah masuk ke 7 Eleven untuk menambah nilai kad Myki dan membeli air mineral dan snek.

Pasangan muda-mudi berpeleseran. Pasangan yang lebih berusia berpegangan tangan. Ada juga ibu bapa yang datang bersama anak-anak lewat malam begini kerana tidak mahu melepaskan peluang melihat kejadian gerhana bulan berdarah.

Kelihatan seorang lelaki dengan kamera DSLR berjenama Canon tidak jauh dari tempat kami duduk. Seperti kami, dia sabar menanti. Diam-diam dia menikmati semangkuk mi sup yang masih panas. Kami pula terbayang coklat dan kopi. Sungguh enak rasanya jika dapat menikmati secawan minuman panas di kala malam yang semakin dingin.

Masa berlalu begitu pantas. Kami berbual kosong. Ralit melihat orang ramai yang lalu lalang. Sesekali hanya melayan perasaan. Jauh daripada tanahair membuatkan kami lupa sebentar tentang kesibukan dan tekanan kerja.

Sedikit demi sedikit bulan mula hilang dari pandangan. Perlahan-lahan bentuk bulan sabit semakin tajam dan menghalus. Bayangan bulan kemerah-merahan dapat dilihat di langit yang gelap. Hal ini terjadi kerana biasan matahari di penghujung lindungan bumi yang menutupi bulan.

Mata menjadi saksi. Sayangnya, kejadian ini tidak dapat kami rakamkan di lensa kerana kamera yang dimiliki tidak mampu mengambil gambar dengan jarak yang terlalu jauh.

Lelaki tadi memetik punat kamera beberapa kali. Dia menunjukkan kepada kami gambar yang diambil. Dia berjaya merakam gambar bulan sabit pada minit-minit terakhir sebelum gerhana penuh terjadi.

“Subhanallah.” Azwa terharu.

Hatinya berbunga-bunga kegembiraan kerana dia tidak pernah melihat gerhana bulan sebelum ini.
Detik itu dirasakan istimewa kerana sahabat baiknya di Malaysia turut sama menyaksikan gerhana bulan. Cuma lokasi yang membezakan mereka. Dia di Australia, sahabatnya di Malaysia. Azwa mengetahui perkara itu kerana mereka sama-sama meletakkan status di Facebook mengenai saat-saat gerhana bulan berlaku.

‘Aku di sini.
Kau di sana.
Kita memandang bulan yang sama.’

Kejadian gerhana bulan dan matahari menunjukkan kebesaran Allah yang Maha Esa. Umat Islam mendirikan solat sunat gerhana sebagai tanda syukur dan beriman kepada keagungan-Nya.

Menyaksikan Gerhana Bulan Berdarah


Selepas pulang daripada Belgrave, kami menyediakan makan malam yang ringkas. Nasi, sup brokoli dan tomato, cendawan butang segar dilayur bersama mentega dan telur dadar. Hidangan panas yang cukup menyelerakan.

Masing-masing bersiap dan kami keluar menuju ke bandar. Apabila matahari terbenam, suhu menurun kepada 9 darjah celcius. Kesejukan malam tidak kami hiraukan. Jaket dan sweater dapat menghangatkan sedikit tubuh. Jari-jemari kami sorokkan ke dalam poket untuk mengurangkan kesejukan.

Kali ini kami turun di hentian no 5, Melbourne Central Station. Pusat membeli-belah diterangi cahaya lampu berwarna-warni. Salah satunya ialah H&M, pusat fesyen terkenal dengan cawangan di merata dunia termasuk Malaysia.

Mungkin kami boleh meninjau rekaan fesyen terkini di H&M.

Hampa.

Pintu masuk tertutup rapat. Lampu terpasang. Dari luar kelihatan manequin memperaga pakaian musim luruh. Pada dinding bangunan tertera waktu perniagaan. Ia dibuka setiap hari mulai jam 10 pagi. Pada hari Sabtu, operasi tamat pada jam 6 petang. Begitu juga pada hari Isnin hingga Khamis. Ia tutup lebih lewat pada hari Jumaat, iaitu jam 8 malam dan lebih awal pada hari Ahad iaitu pada jam 5 petang.

Bangunan yang bercirikan klasik ini asalnya ialah Melbourne's GPO (General Post Office). Plak bertanda menunjukkan ia dibina pada tahun 1859. Selepas 150 tahun, ia masih dikenali sebagai Melbourne's GPO. Namun, bangunan ini sekarang ialah kompleks yang menempatkan jenama fesyen H&M, restoran dan cafe dan beberapa perniagaan terpilih.

Melbourne's GPO ialah jantung hati kota ini. Bangunan bersejarah yang menjadi titik mula dalam mengira jarak daripada Melbourne ke tempat-tempat lain.

Pusat membeli-belah lain seperti The Strand sudah ditutup. Waktu perniagaan bagi kebanyakan perniagaan di Melbourne CBD (Central Business District) tamat lebih awal daripada yang kami jangkakan.

Jika di Malaysia, kita boleh singgah ke pusat membeli-belah selepas pukul lapan malam kerana masih ada yang menjalankan perniagaan sehingga jam 10 atau 11 malam.

Kami berjalan santai sepanjang Elizabeth Street sehingga ke Flinders Street Station. Kemudian, kami menuju ke Federation Square bertentangan dengan pintu utama Flinders Street Station.

25 Jam

"Early to be, early to rise. Makes a man healthy, wealthy and wise."
Benjamin Franklin

Jam 6.10 pagi sudah masuk waktu Subuh di Melbourne. Itu jadual hari Sabtu, 4 April 2015. Keesokannya, waktu Subuh adalah sejam lebih awal iaitu pada pukul 5.11 pagi.

Tiga jam perbezaan waktu di antara Melbourne dan Kuala Lumpur. Itu fakta. Kemudian, ia berubah menjadi dua jam mulai 5 April 2015. Juga fakta.

Nadirah ada menyebut tentang perubahan jam pada hari Ahad. Perkara baru untuk kami. Kami tidak pernah mengetahui wujudnya aturan yang disebut sebagai daylight saving time sebelum tiba di Melbourne.

Daylight saving time (DST) ialah perubahan jam yang berlaku pada musim bunga dan musim panas apabila waktu dianjakkan satu jam ke hadapan supaya masa lebih panjang pada waktu siang.

Kemudian, apabila tiba musim luruh dan musim sejuk waktu diundur sejam lebih awal kerana masa siang akan menjadi lebih pendek.

Negara di kawasan khatulistiwa tidak mengalami fenomena empat musim. Waktu siang dan malam lebih kurang 12 jam sepanjang tahun. Sedangkan, waktu siang hampir 14 jam semasa musim panas di kawasan yang menghampiri kutub.

Keliru.

DST di Victoria dan NSW berakhir pada 5 April 2015 dan hari tersebut ada 25 jam. Waktu diundurkan sejam ke belakang iaitu daripada jam 3 pagi kepada jam 2 pagi. Pada 4 Oktober 2015, DST akan bermula semula. Waktu dianjakkan sejam ke hadapan daripada 2 pagi kepada 3 pagi. Dan hari itu hanya ada 23 jam.

Hakikatnya, kita semua ada 24 jam sehari. Begitulah ketentuan masa mengikut aturan Maha Pencipta. Bumi, bulan dan matahari yang berputar mengikut orbitnya adalah tanda kekuasaan Allah bagi manusia yang mahu berfikir.

Kami menyaksikan satu lagi bukti kehebatan Ilahi dalam dingin malam yang mencengkam. Bulan penuh terselindung perlahan-lahan dengan bayangan bumi yang kemerah-merahan menambah kekaguman di hati kami.

Menaiki Keretapi Wap Puffing Billy (Bhg. 2)


Belgrave terletak pada ketinggian 747 kaki dari paras laut. Laluan keretapi ini akan berakhir di Gembrook, 24km dari Belgrave. Terdapat beberapa hentian sebelum sampai ke Gembrook termasuk satu hentian utama iaitu Lakeside (Emerald Lake), 13.2km dari Belgrave. Kami berhenti di sini.

Di hentian ini, kami dapat menyaksikan krew mengisi semula air ke dalam tangki keretapi. Air yang mendidih akan menghasilkan wap yang menjana tenaga untuk enjin Puffing Billy.

Sepanjang perjalanan dari Belgrave ke Lakeside, kami disajikan dengan pemandangan unik yang bersilih ganti. Pokok Mountain Ash tinggi melangit di hutan Sherbrooke. Rumah yang dibina mempunyai ciri klasik. Terdapat kawasan penginapan mewah bagi mereka yang ingin menikmati percutian yang tenang dan jauh dari kesibukan kota.

Seorang warga emas yang sedang berehat di beranda menarik perhatian kami. Dia ralit membaca buku pada saat kami menuju ke Lakeside. Dalam perjalanan pulang, kelihatan dia sedang mengemas kawasan tepi rumahnya. Kadangkala orang tempatan atau pelancong yang menginap di sini melambai-lambaikan tangan kepada penumpang.

Keramahan masyarakat di sini tidak mengenal warna kulit. Masing-masing meraikan kehadiran pengunjung yang bersilih ganti. Hujung minggu begini sepasang kekasih mengambil kesempatan untuk mengiringi Puffing Billy dengan motosikal berkuasa besar yang mereka tunggangi.

Beberapa kali mereka berhenti di lorong dan melambai-lambai kepada kami. Terserlah kebahagiaan mereka dengan aksi yang spontan. Seolah ingin sama berkongsi keceriaan dengan kami yang berada di dalam keretapi.

Koc yang tidak bertingkap mendedahkan kami kepada pemandangan yang tidak terhalang di luar sana. Tidak jauh dari hentian Clematis, kami melalui padang ternakan yang menghijau seluas mata memandang.


Hentian Lakeside terkenal di kalangan pengunjung kerana boleh bersantai, piknik atau BBQ di kawasan sekitar. Tarikan pelancong ini juga dikenali sebagai Emerald Lake Park. Selain menaiki keretapi, pengunjung boleh datang dengan kenderaan sendiri dan tempat meletak kereta berbayar ada disediakan.

Cuaca baik pada hari itu. Kami dapat mengambil gambar yang cantik. Sinaran mentari memberi pencahayaan secara semulajadi. Dedaunan mula menguning menandakan musim luruh yang sudah bermula.

Afid tidak dapat melupakan dahan-dahan pokok yang berlapisan dengan empat tona warna daun yang berbeza iaitu hijau, merah, oren dan kuning yang mengelilingi tasik. Sekumpulan itik berenang-renang dan pengunjung yang menyewa bot kayuh beroda tiga mengitari kawasan tasik seluas 3.4 ekar.


Sebuah muzium keretapi yang mempamerkan keretapi mini dan model rel sepanjang 2,000 meter dibuka kepada orang awam dengan yuran kemasukan. Kami hanya bergambar di luar muzium. Lebih kurang 45 minit berjalan-jalan di Lakeside, kami beransur ke stesen keretapi untuk menanti Puffing Billy yang akan bertolak pulang ke Belgrave pada jam 2.30 petang. Kami tidak mahu terlewat kerana tren seterusnya hanya tiba pada jam 3.40 petang.

Antara kami, Oshin paling rajin berbual dengan insan yang kami temui. Kanak-kanak itu berambut kekuningan seperti gandum. Seringkali tersengih dan menampakkan beberapa batang gigi hadapan. Wajah polos yang tidak menyembunyikan apa-apa. Hanya kegembiraan yang jelas kelihatan di wajahnya.

Namanya Beau (baca: Bo). Comel. Umurnya hampir tiga tahun. Menurut ibu dan bapa saudaranya, Beau mempunyai darah kacukan Kanada dan Perancis. Pasangan ini pernah ke Kuala Lumpur. Jadi, Malaysia tidak terlalu asing kepada pengembara antarabangsa. Kami sempat merakam gambar bersama mereka sebagai kenangan.

Kami juga tidak dapat melupakan Uncle Ronald, petugas Puffing Billy yang sentiasa tersenyum dan memastikan penumpang naik dan turun daripada koc dengan selamat.

Kami perhatikan ramai petugas di sini agak berusia dan mungkin saja sudah berumur 50-an hingga 60-an. Terdetik juga persoalan adakah mereka bekerja untuk mengisi waktu lapang di usia ini atau benar-benar memerlukan sumber kewangan sebagai sara hidup.

Menaiki Keretapi Wap Puffing Billy


"Afidzah! Afidzah!" Jerit seorang wanita separuh umur yang memakai uniform Puffing Billy. Suaranya hampir tenggelam apabila berselang-seli dengan letusan wap mirip bunyian 'puffin’ daripada keretapi wap Puffing Billy.

Beberapa saat lagi keretapi akan bergerak dari Belgrave menuju ke Gembrook. Hafizah yang sudah berada dalam koc melambai-lambai dari jauh. Nyaris Sa'adah dan Afid ketinggalan. Mereka berdua berlarian. Sejurus melangkah naik, hon dibunyikan dan perjalanan pun bermula.

Sebelum itu ...

Selepas bersarapan ringkas di Queen Victoria Market, kami ke Flinders Street Station untuk menaiki tren ke Belgrave. Tren laluan ke Frankston mengambil masa lebih kurang 20 minit sebelum kami turun di stesen Richmond. Pegawai di stesen Richmond memaklumkan kami perlu menaiki bas untuk ke stesen Camberwell sebelum menaiki tren di stesen itu untuk terus ke Belgrave.

Perjalanan dengan bas mengambil masa 40 minit dan kami tiba di Camberwell pada jam 11.15 pagi. Kemudian, perjalanan dengan tren bersambung lagi selama sejam sebelum tiba di stesen Belgrave. Stesen keretapi wap Puffing Billy terletak tidak jauh daripada stesen Belgrave.

Ramai penumpang lain mempunyai hala tuju yang sama. Kami ingin merasai pengalaman menaiki keretapi wap yang menjadi sebutan dan tarikan pengunjung ke Belgrave. Mungkin juga ingin melayan jiwa keanak-anakan dalam diri masing-masing.

Puffing Billy terletak 42km daripada Melbourne. Rel keretapi wap yang dibina pada 1900-an pernah dihentikan operasinya selepas berlaku tanah runtuh pada tahun 1953. Kemudian, ia dibuka semula secara berperingkat mulai tahun 1962.

Sebelum teknologi keretapi elektrik wujud, sistem keretapi dengan enjin wap telah membawa manusia ke banyak tempat. Kini, manusia di zaman moden menaiki keretapi wap sebagai satu aktiviti yang menyeronokkan.

Ada lagi 15 minit sebelum tren bergerak. Hafizah telah membeli tiket secara online sebelum kami bertolak ke Melbourne. Keretapi dijadualkan memulakan perjalanan pada jam 12.30 tengahari. Orang ramai beratur panjang untuk membeli tiket di kaunter. Cuti hujung minggu dan musim cuti sekolah begini ialah masa yang sesuai untuk keluar bergembira bersama keluarga dan rakan.

Kami tidak perlu beratur dan terus pergi ke kaunter khas untuk mengambil tiket. Pegawai kaunter memaklumkan semua tiket pada hari itu sudah habis dijual. Pengunjung di bahagian belakang mengeluh kerana tidak dapat menaiki Puffing Billy pada hari tersebut.

Lean belum muncul seperti dijanjikan. Kami tidak dapat menghubunginya. Tiketnya tidak boleh ditukar untuk trip seterusnya. Sementara Fizah menguruskan tiket, kami yang lain sempat bergambar di sekitar kawasan stesen.

Fizah cuba menjual tiket Lean kepada pengunjung yang berminat. Tetapi tidak ada yang mahu membeli kerana hanya sekeping tiket.

Fizah mengambil keputusan untuk meninggalkan tiket Lean di kaunter dengan harapan Lean muncul pada saat terakhir.

“Eh, keretapi dah nak jalan ni? Mana dia orang?” Afid risau.

Afid menyangka Fizah masih sibuk dengan tiket Lean. Yang lain tidak kelihatan. Hanya Sa’adah bersama dengannya.

“Kalau tak dapat jual tiket tu, biar saja. Nanti kita pula yang tertinggal keretapi.” Kata Afid lagi. Sa’adah bersetuju.

Sa’adah dan Afid berpusing-pusing mencari orang lain. Mereka hendak masuk ke dalam tetapi tiada tiket. Semua tiket dipegang Fizah.

Sewaktu hendak berpatah balik di tengah orang ramai untuk mencari yang lain buat kali kedua, terdengar nama Afid dijerit.

“Afidzah!”

Langkah Afid terhenti. Betul ke nama aku yang dijeritkan? Macam nama aku?

“Afidzah!” Apabila namanya semakin lantang dilaung berkali-kali, Afid menarik Sa’adah dan berlari sekuat hati menuju ke keretapi.

Kelihatan yang lain melambai-lambai dari dalam keretapi memberi isyarat naik dengan segera.

“Cepat! Cepat!” Termengah-mengah Afid dan Sa’adah kerana bimbang ditinggalkan. Meleset jangkaan mereka. Ingatkan yang lain hampir tertinggal keretapi, sebenarnya mereka berdua yang nyaris tidak dapat naik.

Kami yang lain memerhati dengan dada yang berdebar-debar. Azlean memang akan tertinggal tren kerana masih tidak muncul hingga sekarang. Sa'adah dan Afid hampir-hampir tertinggal tren juga. Puas Hafizah menjelaskan kepada pegawai Puffing Billy. Lega apabila mereka berdua dapat menaiki koc yang sama.

Perjalanan bermula.

Queen Victoria Market


Tidak lengkap percutian di Melbourne jika tidak singgah ke Queen Victoria Market (QVM). Pasar yang terletak di Elizabeth Street merangkumi kawasan seluas 17 ekar. Bangunan berbumbung memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung. QVM satu-satunya pasar kurun ke-19 yang masih wujud di Melbourne Central Business District (CBD) dan tersenarai dalam Daftar Warisan Victoria (Victorian Heritage Register).

Pada tahun 1970-an, terdapat cadangan untuk membina pusat dagangan, kompleks membeli-belah dan hotel di tapak QVM. Namun ia tidak diteruskan setelah mendapat tekanan daripada orang awam. Ini bukti yang menunjukkan suara rakyat cukup penting dalam memelihara warisan sejarah yang berharga seperti QVM. Proses pemuliharaan diteruskan dan peruntukan sebanyak AUD80.64 juta bagi tahun 2015-2016 akan dilaburkan kepada QVM.

Pasar ini menawarkan pelbagai pilihan sayur-sayuran dan buah-buahan segar, daging, hasil tenusu dan hasil laut. Bahagian makanan terletak di seksyen berhampiran pintu masuk. Barang kraf, pakaian, kasut dan lain-lain ditempatkan di bahagian bukan makanan.

Deretan restoran dan kafe di bahagian hadapan pasar dibuka awal pagi. Pengunjung mempunyai pilihan untuk bersarapan sebelum atau selepas membeli belah di dalam QVM. Kopi, minuman coklat panas, sandwich, hidangan Sepanyol dan hidangan berat yang lain boleh dinikmati bersama rakan atau keluarga.


Kali pertama kami pergi ke QVM adalah pada hari Sabtu. Pengunjung memenuhi restoran dan kafe untuk bersarapan. Pagi itu kami hanya bersarapan ringkas di rumah kerana ingin mencuba menu berat setibanya di bandar.

Aroma roti yang baru dibakar cukup membuka selera sebaik sahaja kami melangkah masuk ke bahagian makanan siap dimasak. Terdapat kedai-kedai menjual pastri seperti pai berinti daging atau bayam, pai epal dan kek potong.

Bread Boy, salah sebuah bakeri yang menarik perhatian Sa'adah. Ramai pengunjung beratur untuk mendapatkan roti yang segar.

Antara produk mereka ialah roti rye, roti gandum penuh, roti putih, bun mentega dan pane di casa. Pane di casa menjadi pilihan Sa'adah. Sebuku pane di casa berharga AUD6.

Apakah sebenarnya pane di casa? Kulitnya rangup tetapi isinya liat sedikit dan lembut. Pane di casa ialah sejenis roti tradisional yang berasal daripada Itali. Doh roti diperam selama 12 jam dan hanya menggunakan lima bahan asas iaitu tepung gandum, air, garam, minyak dan yis.

Sa'adah membeli roti itu kerana namanya. Pane di casa bermaksud bread of the home.

Tidak jauh dari Bread Boy, Yati sedang menunggu minuman coklat panas yang dipesan. Longgokan coklat gelap, coklat susu dan coklat putih benar-benar menggugah selera dan tidak terlepas daripada pandangan penggemar coklat.

Kedai coklat itu turut mempamer coklat fondue di bahagian utama rak. Coklat yang cair mengalir seolah-olah menggamit kami untuk merasai keenakan coklat buatan sendiri di kedai tersebut. Coklat dengan kekacang dan coklat berperisa turut dijual.

Secawan minuman coklat panas di QVM ternyata menjadi saingan hebat dalam pencarian kami menikmati minuman panas di Melbourne. Afid, Azwa, Yati dan Sa’adah jatuh cinta dengan rasa hot chocolate yang sederhana pekatnya.

“Sedapnya hot chocolate ni. Tak pernah jumpa kat tempat lain hot chocolate sesedap ni.” Puji Azwa melambung tinggi. Yati dan Sa’adah bersetuju seratus-peratus dengan komen Azwa.

Mengambil secawan minuman coklat panas dalam kedinginan udara Melbourne yang mencengkam merupakan pengalaman yang hebat. Ringkas tetapi besar maknanya. Ianya akan kekal dalam ingatan.

Manisnya kenangan sepertimana enaknya hot chocolate yang dinikmati.

Di lorong lain pula, deretan kedai menjual keju kelihatan sibuk. Blok keju, potongan dan kepingan keju dibungkus rapi mengikut permintaan pembeli. Keju dilabel berdasarkan jenis dan tempoh peraman.

Sebahagian jenis keju biasa didapati di Malaysia seperti keju cheddar, parmesan dan mozarella. Harganya lebih mahal di negara kita kerana keju bukan makanan harian rakyat Malaysia. Hanya pasaraya tertentu mengimport keju dengan pelbagai pilihan. Biasanya pasaraya ini terletak di kawasan elit dan tumpuan expatriat.

Tiga potong keju berlainan jenis dengan harga AUD10 sangat berbaloi bagi penggemar keju seperti Fizah. Kami tidak perasan bila Fizah membeli keju. Dapat juga kami mencuba blue cheese yang terkenal kerana nama dan rasa yang unik.

Blue cheese mempunyai tekstur yang lebih lembut berbanding cheddar. Sejenis kulat penicillum dimasukkan ke dalam adunan. Kulat ini akan merebak semasa proses pemeraman. Apabila keju matang kita dapat melihat jalur atau urat berwarna biru kelabu pada blue cheese.

Bau keju ini lebih kuat berbanding keju cheddar. Bagi yang pertama kali mencubanya, kami mengambil secubit keju dan makan bersama roti. Selain dimakan bersama roti, blue cheese biasanya diletak dalam salad bersama sos dan minyak zaitun.

Bahagian lain ada menjual buah-buahan dan sayur-sayuran segar, rempah, sosej, daging dan bermacam-macam lagi produk keluaran tempatan.

Roti, keju, pastri inti bayam dan minuman coklat panas rezeki kami pagi itu. Agak terkilan tidak dapat meluangkan lebih banyak masa di QVM. Kami harus menaiki keretapi ke Belgrave untuk sampai ke Puffing Billy.

Hari-hari berikutnya kami tidak dapat ke QVM semula. Pasar ditutup pada hari Isnin dan Rabu. Ahad kami ke Philip Island dan dua hari berikutnya mengikuti ekspedisi ke Great Ocean Road. Walaupun kecewa, pada pagi Rabu kami singgah sebentar dan bergambar di luar bangunan QVM sebagai kenangan.


Southern Cross Station


Southern Cross Station (SCS) dibuka pada tahun 1859, lima tahun selepas Flinders Street Station beroperasi. Jaraknya hanya 1,200m daripada Flinders Street Station. Fizah dan Lean sempat singgah ke stesen ini. Kami yang lain hanya melihat bangunan yang kelihatan moden ini dari jauh semasa melewati Collin St pada hari ketiga berada di Melbourne.

Bangunan SCS yang wujud sekarang melalui pelbagai fasa proses pembinaan dan pembangunan semula. Daripada sebuah stesen lama, bangunan ini diberi sentuhan seni bina moden pada awal 2000-an sebagai persediaan Olimpik 2006.

Pembangunan semula SCS menjadi perhatian media. Campur tangan politik, konflik di antara syarikat yang mengendalikan projek, masalah kewangan dan tekanan masa menjadi berita hangat pada waktu itu.

Projek yang menelan belanja jutaan dollar ini akhirnya siap juga dan kini menjadi pusat transit utama yang menghubungkan laluan keretapi, tram, bas dan teksi. Bukan itu sahaja, ia menempatkan kompleks beli-belah yang menawarkan pelbagai jenama barang kepada pengunjung.

Flinders Street Station

Flinders Street Station ialah hentian pertama bagi laluan tram nombor 19 dan beberapa lagi laluan tram utama dalam Zone 1. Bangunan ini mempunyai sentuhan seni bina Perancis, mula dibina pada awal kurun ke-19 dan beroperasi pada tahun 1854. Dalam tempoh lebih 100 tahun, ia telah melalui pelbagai fasa ubahsuai.

Hentian laluan 19 terletak berhadapan dengan menara jam Flinders Street Station. Pintu masuk utama terletak lebih kurang 100 meter daripada menara jam. Terdapat sebuah lagi jam besar yang terpasang di bawah kubah dan mempunyai sejarah tersendiri. Kubah yang dibina menjadi mercu tanda di persimpangan Flinders Street dan Swanson Street.

Stesen ini merupakan salah satu hentian utama dalam jalinan keretapi di bandar Melbourne. Ia adalah stesen keretapi pertama di Australia dan pernah diisytiharkan sebagai stesen penumpang paling sibuk di dunia pada tahun 1926. Pemeliharaan bangunan lama dan bersejarah bukan kerja mudah. Kami tidak melepaskan peluang merakam keunikan seni binanya melalui lensa kamera masing-masing. Warga tempatan yang lalu-lalang memandang kami dengan senyuman.

Hari pertama kami di kota Melbourne ialah cuti umum Good Friday. Trafik tidak sesak dan orang ramai kelihatan berjalan santai. Semasa beratur membeli kad tambah nilai Myki di kedai 7 Eleven berhampiran, seorang wanita India yang beratur di belakang Oshin menegur dalam bahasa Melayu.

“Dari Malaysia ke?”

Bukan Oshin saja menoleh ke belakang, yang lain berbuat perkara yang sama. “Ya, dari Malaysia.”
Christy, rakyat Malaysia yang bekerja di Melbourne sejak setahun yang lalu. Dia begitu teruja dapat bertemu dengan orang Malaysia.

Kami tidak melepaskan peluang bertanya serba sedikit tentang sistem pengangkutan di sini. Dia yang memberitahu kami bahawa perkhidmatan tram di Zon 1 selama empat hari cuti umum iaitu Jumaat hinggga Isnin adalah percuma. Banyak juga kami dapat berjimat.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Begitu hemat Christy yang rindukan Kuala Lumpur.

“Tinggal di Malaysia lebih menyeronokkan daripada menetap di Melbourne.” Ayat terakhir Christy sebelum kami berpisah membawa haluan masing-masing.

Ayat itu membuatkan kami berfikir panjang.

Sistem Pengangkutan di Melbourne


Flinders Street Station dan Southern Cross Station, dua daripada lebih 200 stesen keretapi yang menghubungkan pusat bandar dan bandar-bandar lain di Melbourne. Syarikat Metro mengendalikan perkhidmatan keretapi yang dikawal secara elektronik.

Kami berpeluang menggunakan perkhidmatan keretapi semasa menuju ke Belgrave dan pulang ke Coburg. Keretapi bertolak mengikut jadual dan maksima caj perjalanan pada hari Sabtu ialah AUD7 pergi dan balik ke mana-mana destinasi dalam rangkaian ini.

Pengangkutan yang paling kerap kami gunakan ialah tram. Tram ialah kenderaan aliran ringan yang dipandu mengikut rel dan kabel. Rel dibina di atas jalanraya. Ia dikawal secara elektronik.
Perkhidmatan ini dikendalikan oleh Yarra Tram. Nama Yarra diambil sempena nama Sungai Yarra yang mengalir dalam bandar Melbourne.

Faiz meminjamkan kad Myki untuk digunakan sebagai tiket apabila menaiki mana-mana perkhidmatan awam. Kad Myki ialah kad tambah nilai seperti Touch N Go di Malaysia. Hanya perlu tap on apabila memulakan perjalanan dan jangan lupa tap off apabila sampai ke destinasi.

Kami tidak tahu jumlah baki dalam setiap kad Myki yang dipinjamkan Faiz. Terpinga-pinga dan risau dikenakan denda apabila tidak mempunyai baki mencukupi.

Hari Jumaat cuti umum dan tiada kedai berdekatan Coburg yang menjual tambah nilai kad Myki. Seorang wanita berdiri di tempat menunggu tram di hentian 31, Reynard Street. Sesekali dia melihat telefon bimbitnya. Afid bertanya kepada wanita itu. Dia menjawab dengan ramah. Di akhir perbualan, kami dapat tahu Rebecca ialah warga Kanada yang sudah menetap di Melbourne selama dua tahun.

Masih tiada penyelesaian. Kami tekad naik tram dan tap on pada mesin tiket yang disediakan. Apabila tiba di bandar, baru kami mengetahui penggunaan tram dalam zon yang sama selama empat hari ini tidak dikenakan bayaran. Kad Myki akan merekod baki sebagai negatif jika baki akhir tidak mencukupi. Nilai negatif akan ditolak apabila kita menambah nilai kad.

Peta laluan keretapi dan tram menjadi panduan kami. Rajah yang menunjukkan laluan berselirat agak mengelirukan. Semasa pulang dari Belgrave, kami turun daripada bas di stesen Parlimen. Kononnya ingin berhenti di bandar dan cuba menghubungi Lean. Gagal.

Dalam masa yang sama kami mencari laluan tram yang menghubungkan laluan nombor 19. Sekurang-kurangnya ada lima laluan di stesen Parlimen termasuk City Circle. Tram datang silih berganti. Kami buntu. Fizah, Oshin dan Azwa mengambil alih tugas meneliti peta. Yang lain sibuk bergambar berlatarkan bangunan Parlimen.

Beberapa jam lagi matahari akan terbenam dan kami harus pulang segera ke rumah untuk menunaikan solat. Keputusan diambil, kami turun semula ke stesen keretapi Parlimen dan mencari platform untuk pulang ke Coburg.

Kami singgah di pasaraya Coles tidak jauh dari kawasan perumahan untuk membeli salad dan bekalan makanan yang boleh dimasak di rumah.

Bermalam di Port Campbell Hostel


Port Campbell Hostel merupakan tempat penginapan kami semasa lawatan ke Great Ocean Road. Ianya terletak 7 km dari London Bridge dan 12 km dari 12 Apostles. Kami hanya bermalam untuk satu hari di sini.

Port Campbell Hostel menawarkan penginapan bajet moden yang terdiri daripada bilik keluarga, bilik persendirian dan bilik dorm yang menempatkan empat, enam atau lapan katil. Bilik dorm merupakan bilik bercampur lelaki dan perempuan. Jika mahu bermalam di dalam dorm perempuan atau lelaki sahaja, boleh diatur dengan memaklumkan kepada pihak asrama lebih awal sebelum kita datang.

Kami telah meminta lebih awal dengan syarikat pelancongan yang membawa kami ke sini supaya kami dapat tinggal di bilik perempuan sahaja. Bersama kami malam itu ialah Stephanie, pelajar ijazah kedoktoran dalam bidang fizik dari Sydney, Katie, seorang jururawat dari US dan Lily dari Beijing.

Katil yang disediakan di dorm ialah katil dua tingkat. Masuk ke dalam bilik teringat memori tinggal di asrama semasa zaman persekolahan apabila memandang katil yang tersusun rapi. Setiap penginap diberikan kad akses untuk keluar masuk bilik asrama.

Penginap juga diberikan alas tilam yang bersih sebelum masuk ke bilik masing-masing. Alas tilam akan dipulangkan apabila mendaftar keluar daripada bilik. Dengan cara ini, pihak pengurusan dapat mengurangkan kos housekeeping bilik.

Tandas dan bilik air yang disediakan sangat bersih. Terdapat air panas dan air sejuk. Namun ada waktu tertentu di mana penggunaan air panas dihadkan. Jika tidak mahu menggigil kesejukan, pastikan mandi sebelum air panas dimatikan.

Ruang rehat, dapur, ruang makan dan kaunter pendaftaran terletak di tingkat bawah. Manakala bilik-bilik terletak di tingkat atas. Kami bersantai di ruang rehat yang besar dan luas. Menggunakan kemudahan wi-fi, dapatlah kami berhubung dengan keluarga dan rakan di Malaysia.

Moden. Selesa.

Permainan dan bahan-bahan bacaan menanti pengunjung yang kebosanan atau tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk mengisi masa terluang. Kami bermain UNO sementara menanti makan malam siap.

Seronok. Bertahun-tahun rasanya tidak bermain UNO. Yati tersenyum megah kerana menjadi orang pertama yang berjaya menghabiskan kad.

Kita boleh memasak di dapur. Hanya perlu bawa bahan mentah kerana peralatan memasak lengkap disediakan di dapur. Syaratnya dapur perlu dibersihkan selepas digunakan, begitu juga segala barang seperti pinggan, mangkuk, gelas dan sudu.

Makan malam yang disediakan oleh Judith, pemandu pelancong kami membuatkan kami tersandar kekenyangan. Pertama kali kami makan sosej dan burger vegetarian. Tauhu yang dimasak juga enak. Ke sebab kami sudah lapar?

Ruang makan boleh memuatkan 78 orang dalam satu masa. Percuma kopi dan teh setiap masa. Terdapat beberapa kumpulan pelancong yang lain pada malam itu. Masing-masing menikmati makan malam yang sederhana.

Pada sebelah pagi, kami sempat berjalan-jalan di sekitar Port Campbell Hostel. Dalam masa yang singkat sebelum bertolak ke 12 Apostles, kami bergambar di tebing pantai tidak jauh daripada tempat penginapan. Angin bertiup kencang dan kami menggigil kedinginan.

Terdapat beberapa buah rumah atau boleh dikatakan villa di kawasan ini. Alangkah tenangnya dapat tinggal di sini tanpa sebarang gangguan. Adakah kami sanggup duduk berjauhan dan terasing di tempat sebegini?

Bila difikirkan semula, mungkin boleh untuk berehat selama satu minggu atau dua minggu mahupun sebulan. Tetapi untuk tinggal lebih lama, harus dipertimbangkan berkali-kali.

Berkumpul Tujuh Sahabat

Lean berlepas dengan penerbangan ke Melbourne jam 9.30 malam, masa yang sama kami berangkat dari Malaysia 24 jam yang lalu. Lean menghantar mesej kepada kami sebelum terputus hubungan. Kami berharap dapat berkumpul di Belgrave sebelum jam 12.30 petang.

Lean tidak muncul. Lean menghantar SMS menggunakan nombor tempatan. Kami cuba membalas mesej dengan talian roaming. Mesej tidak dapat dihantar. Buat masa ini kami hanya mampu berdoa agar Lean selamat sampai ke homestay di Coburg.

“Kat mana agaknya Lean sekarang?” Sa’adah tertanya-tanya.

“Jangan bimbang, Lean mesti dapat cari jalan.” Yati cuba mengurangkan kebimbangan Sa’adah dan rakan yang lain.

“Mana kau tahu? Risau juga tak dapat contact dia.” Azwa menyampuk.

“Lean boleh survive. Dia akan sampai juga di Coburg.” Balas Yati penuh keyakinan. Fizah mengangguk mengiyakan.

Yati tahu Lean seorang yang berdikari dan tenang, tidak mudah panik.

Akhirnya Lean sampai juga. Kami yang terkejut apabila melihat Lean sudah berada di homestay lebih kurang 10 minit sebelum kami pulang.

“Lean!” Pekik Fizah apabila ternampak Lean sebaik sahaja kami masuk ke dalam rumah.
Lean tersengih.

Orang yang musafir dengan niat yang baik sesungguhnya di bawah lindungan Allah. Lean sampai juga di Belgrave tetapi sudah ketinggalan keretapi Puffing Billy. Perjalanan bas yang lama menyebabkan Lean tiba di Belgrave selepas jam 12.30 tengahari.

Semasa dalam perjalanan menaiki keretapi dan bas dari Melbourne ke Puffing Billy, Lean berkenalan dengan tiga orang pelajar Malaysia. Ketiga-tiga pelajar perempuan itu sedang menuntut di University of Melbourne.

“Makan Snickers je ke?” Salah seorang pelajar menegur Lean.

Lean yang sedang enak mengunyah Snickers terhenti. Lean tersenyum. “Coklat ni je yang ada.”

Pelajar-pelajar tersebut bermurah hati menawarkan bekal sandwich tuna yang mereka bawa kepada Lean.

Mereka mahu menaiki keretapi wap Puffing Billy, sama tujuan dengan Lean. Malangnya mereka gagal berbuat demikian kerana tiket telah kehabisan. Mereka tidak membeli tiket secara online terlebih dahulu. Lean memiliki tiket yang ditinggalkan Fizah di kaunter tetapi terlepas waktu yang dijadualkan.

Lean dan kenalan barunya pulang bersama ke Melbourne dan mereka bersiar-siar di bandar.
Selepas berpisah dengan pelajar-pelajar itu, dia menaiki keretapi ke Coburg. Dengan beg sandang seberat 11kg, dia tercari-cari Tanamekar Homestay. Mujur Lean tidak berat mulut. Dia mengetuk pintu hampir setiap rumah di Railway Place. Dia bertanya dengan orang yang sedang berjoging dan orang yang membawa anjing bersiar-siar di luar.

“Minta maaf, kamu tahu di mana Tanamekar Homestay?”

Tidak ada yang mengetahui tentang Tanamekar Homestay. Mereka membuka GPS di telefon masing-masing untuk menolong Lean mencari rumah tersebut tetapi masih menemui jalan buntu.

Bantuan datang lagi. Seorang jejaka yang sedang berbasikal sudi berhenti dan menemani Lean mencari homestay.

“Tidak mengapa, kita jalan sama-sama cari rumah tu. Hari pun sudah gelap.” Jejaka muda itu tidak sampai hati membiarkan Lean berjalan seorang diri.

Hampir kebanyakan rumah mempunyai tanda salib. Jadi mereka tahu rumah-rumah itu bukanlah rumah yang dicari.

“Rumah ini saja yang tidak ada tanda salib. Cuba kamu ketuk dan tanya.” Usul jejaka itu.

Rumah itu tidak banyak beza dengan rumah-rumah yang lain. Cuma tiada tanda salib seperti hampir kebanyakan rumah lain. Lean memberi salam dan mengetuk pintu. Faiz membuka pintu. Akhirnya Lean sampai di rumah yang betul.

Setelah lebih 90 minit mundar-mandir di Railway Place, dia dapat berehat sebentar sebelum kami keluar bersama selepas maghrib. Bermula perjalanan kami tujuh sahabat di Melbourne.

Sesat di Coburg

Fizah dan Lean sampai sehari lewat daripada kami berlima. Selepas mendarat di Lapangan Terbang Melbourne Tullamarine, mereka menaiki Skybus hingga ke Southern Cross Station (SCS). Kemudian menaiki keretapi ke Coburg. Mencari Tanamekar Homestay benar-benar menguji kesabaran mereka. Tanpa alamat yang tepat dan terputus hubungan dengan kami berlima menyukarkan lagi keadaan.

Seawal pagi Sabtu, Fizah mengambil masa lebih sejam untuk mencari lokasi homestay. Fizah mengambil keputusan untuk berhenti di stesen Caltex, Sydney Rd yang mempunyai capaian internet. Setelah mesej diterima, Sa'adah dan Oshin menjemput Fizah di stesen Caltex.

Kami dapati banyak tempat yang mempunyai capaian internet percuma di Melbourne dan Sydney. Jika anda tidak memiliki nombor telefon tempatan, gunakan kemudahan wi-fi untuk berhubung dengan orang lain. Risikonya, belum pasti mesej akan sampai serta merta kerana rakan yang anda hubungi mungkin tidak berada dalam lingkungan wi-fi.

Lain pula kisahnya dengan Lean. Lean tiba di Melbourne pada jam 10.30 pagi hari Sabtu. Kami berjanji untuk bertemu di Belgrave sebelum menaiki Puffing Billy, koc keretapi wap. Tiket sudah dibeli secara online dan keretapi dijadualkan bergerak pada jam 12.30 petang.

Hingga lewat petang kami tidak dapat berhubung dengan Lean. Masing-masing risau dan cuba menghantar beberapa mesej sepanjang berada di kawasan luar. Namun gagal. Apakah yang berlaku pada Lean?

Menginap di Coburg


Coburg, sub-bandar yang jaraknya hanya 10km daripada Lapangan Terbang Melbourne Tullamarine. Perjalanan selama 15 minit cukup singkat melalui freeway menuju ke rumah penginapan kami. Freeway ialah terma yang digunakan untuk lebuhraya bebas tol. Faiz, pemilik Tanamekar Homestay berkongsi sedikit sebanyak tentang Coburg dan kemudahan yang ada.

Faiz dan Nadirah, pasangan yang berasal daripada Malaysia sudah empat tahun menetap di Melbourne. Menyambung pengajian dan bekerja di sini. Mereka merancang pulang ke tanahair pada bulan Mei 2015.

Cuaca baik pada hari pertama kami sampai di Coburg. Trafik tidak sibuk. Menurut Faiz, kebanyakan warga tempatan sudah bercuti dan pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut Good Friday (3 April 2015) dan Easter Sunday (5 April 2015).

Setibanya di Tanamekar Homestay, kami makan hidangan ringkas sebelum bersiap untuk ke bandar Melbourne. Lokasi tempat penginapan kami sangat strategik. Berhampiran dengan stesen keretapi Coburg dan laluan tram no 19, hentian 31 Reynard Street.

Faiz menunjukkan lokasi perpustakaan awam Coburg. Sayangnya perpustakaan ditutup selama empat hari kerana cuti umum. Sehingga hari terakhir di Coburg, kami tidak berpeluang singgah kerana jadual ketat dan hendak bertolak ke Sydney.

Setiap pagi kami berjalan kaki lebih kurang 5 minit ke perhentian tram 31 untuk ke lokasi lain yang telah dirancang sepanjang percutian di Melbourne.

Umpama rusa masuk kampung lagaknya semasa kami melewati lorong dan deretan rumah di Coburg. Seni bina rumah yang klasik dan menggunakan batu bata merah menunjukkan Coburg sebuah penempatan yang sudah lama dibangunkan.

Sesekali kelihatan warga tempatan berbasikal di kawasan perumahan ini. Tidak banyak kenderaan yang diletakkan di kiri kanan jalan. Hanya kicauan burung dan detaran gerabak keretapi yang memecah kesunyian pagi di Coburg.


Pada suatu pagi, seorang perempuan warga emas yang sedang berada di anjung rumahnya memberi ucapan salam kepada kami. Sesungguhnya ia ungkapan yang universal dan bermakna bagi orang Islam. Dia tersenyum melihat kami bertujuh dan melambai tangan sebagai tanda perkenalan.

Pada pagi yang lain, seorang lelaki tempatan memberi laluan kepada kami sebelum memarkir kereta di halaman rumah. Dia sedang bercakap di telefon. Dia menoleh ke arah kami. Mungkin penampilan kami yang bertudung menarik perhatiannya. Sempat juga salah seorang daripada kami mengucapkan terima kasih kepadanya.

Di malam hari, hanya kelihatan beberapa rumah terpasang lampu di sepanjang jalan menuju ke homestay. Semasa pulang lewat selepas perjalanan ke Phillip Island, seorang lelaki berusia lewat 40-an menegur kami. Dia pernah ke Kuala Lumpur sebelum ini dan mengakui suka datang ke Malaysia. Sebelum berpisah di hujung jalan, dia mengucapkan selamat bergembira sepanjang percutian kami.

Tiba di Australia

Melbourne sebuah daerah di Victoria, lebih dingin dengan suhu mencecah kurang 10 darjah celcius pada waktu malam. Pada siang hari pula kedinginan masih terasa walaupun matahari memancar dengan terik. Tiupan angin sesekali membuatkan kami ingin berpeluk tubuh dan berjalan dengan perlahan sekali.

Musim sedang berubah di benua ini. Daripada musim bunga kepada musim luruh. Suhu paling tinggi direkodkan semasa kami berada di Melbourne ialah 17 darjah celcius. Kami memakai lebih selapis baju supaya selesa berjalan-jalan di sekitar bandar.

Penerbangan daripada Kuala Lumpur mengambil masa lapan jam 30 minit. Meninggalkan ruang udara Kuala Lumpur pada jam 9.30 malam waktu tempatan dan mendarat di Melbourne pukul 9.30 pagi waktu tempatan. Perbezaan waktu ialah tiga jam awal di Australia.

Kelihatan permukaan tanah rata dari tingkap sisi semasa jam terakhir penerbangan. Warna kekuning-kuningan dan sesekali wujud kawasan kehijauan. Dari atas, tanah lapang tersebut tampak seperti kotak-kotak di atas papan dam yang terbahagi sama rata. Tertanya-tanya apakah sebenarnya fungsi kawasan itu dibahagikan. Kemudian, kami menemui jawapan semasa dalam perjalanan ke Great Ocean Road.

Destinasi

Australia negara kelima terbesar di dunia. Seringkali menjadi sebutan dalam hal politik mahupun polisi ekonomi. Tidak kurang menjadi perhatian warga luar yang memilih kerakyatan negara ini. Apakah yang istimewa di Australia? Mungkinkah perjalanan kami bertujuh dalam tempoh sepuluh hari bakal memberi pendedahan baru tentang hal ini.

Melbourne dan Sydney menjadi pilihan. Nyata ia tidak mengecewakan. Kedua-dua kota mempunyai ciri berbeza. Cuaca, struktur bangunan, budaya dan masyarakat membuktikan kelainan antara dua kota. Namun, satu persamaan yang ketara ialah sifat hormat-menghormati di antara satu sama lain sangat kami kagumi.