Tidak lengkap percutian di Melbourne jika tidak singgah ke Queen Victoria Market (QVM). Pasar yang terletak di Elizabeth Street merangkumi kawasan seluas 17 ekar. Bangunan berbumbung memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung. QVM satu-satunya pasar kurun ke-19 yang masih wujud di Melbourne Central Business District (CBD) dan tersenarai dalam Daftar Warisan Victoria (Victorian Heritage Register).
Pada tahun 1970-an, terdapat cadangan untuk membina pusat dagangan, kompleks membeli-belah dan hotel di tapak QVM. Namun ia tidak diteruskan setelah mendapat tekanan daripada orang awam. Ini bukti yang menunjukkan suara rakyat cukup penting dalam memelihara warisan sejarah yang berharga seperti QVM. Proses pemuliharaan diteruskan dan peruntukan sebanyak AUD80.64 juta bagi tahun 2015-2016 akan dilaburkan kepada QVM.
Pasar ini menawarkan pelbagai pilihan sayur-sayuran dan buah-buahan segar, daging, hasil tenusu dan hasil laut. Bahagian makanan terletak di seksyen berhampiran pintu masuk. Barang kraf, pakaian, kasut dan lain-lain ditempatkan di bahagian bukan makanan.
Deretan restoran dan kafe di bahagian hadapan pasar dibuka awal pagi. Pengunjung mempunyai pilihan untuk bersarapan sebelum atau selepas membeli belah di dalam QVM. Kopi, minuman coklat panas, sandwich, hidangan Sepanyol dan hidangan berat yang lain boleh dinikmati bersama rakan atau keluarga.
Kali pertama kami pergi ke QVM adalah pada hari Sabtu. Pengunjung memenuhi restoran dan kafe untuk bersarapan. Pagi itu kami hanya bersarapan ringkas di rumah kerana ingin mencuba menu berat setibanya di bandar.
Aroma roti yang baru dibakar cukup membuka selera sebaik sahaja kami melangkah masuk ke bahagian makanan siap dimasak. Terdapat kedai-kedai menjual pastri seperti pai berinti daging atau bayam, pai epal dan kek potong.
Bread Boy, salah sebuah bakeri yang menarik perhatian Sa'adah. Ramai pengunjung beratur untuk mendapatkan roti yang segar.
Antara produk mereka ialah roti rye, roti gandum penuh, roti putih, bun mentega dan pane di casa. Pane di casa menjadi pilihan Sa'adah. Sebuku pane di casa berharga AUD6.
Apakah sebenarnya pane di casa? Kulitnya rangup tetapi isinya liat sedikit dan lembut. Pane di casa ialah sejenis roti tradisional yang berasal daripada Itali. Doh roti diperam selama 12 jam dan hanya menggunakan lima bahan asas iaitu tepung gandum, air, garam, minyak dan yis.
Sa'adah membeli roti itu kerana namanya. Pane di casa bermaksud bread of the home.
Tidak jauh dari Bread Boy, Yati sedang menunggu minuman coklat panas yang dipesan. Longgokan coklat gelap, coklat susu dan coklat putih benar-benar menggugah selera dan tidak terlepas daripada pandangan penggemar coklat.
Kedai coklat itu turut mempamer coklat fondue di bahagian utama rak. Coklat yang cair mengalir seolah-olah menggamit kami untuk merasai keenakan coklat buatan sendiri di kedai tersebut. Coklat dengan kekacang dan coklat berperisa turut dijual.
Secawan minuman coklat panas di QVM ternyata menjadi saingan hebat dalam pencarian kami menikmati minuman panas di Melbourne. Afid, Azwa, Yati dan Sa’adah jatuh cinta dengan rasa hot chocolate yang sederhana pekatnya.
“Sedapnya hot chocolate ni. Tak pernah jumpa kat tempat lain hot chocolate sesedap ni.” Puji Azwa melambung tinggi. Yati dan Sa’adah bersetuju seratus-peratus dengan komen Azwa.
Mengambil secawan minuman coklat panas dalam kedinginan udara Melbourne yang mencengkam merupakan pengalaman yang hebat. Ringkas tetapi besar maknanya. Ianya akan kekal dalam ingatan.
Manisnya kenangan sepertimana enaknya hot chocolate yang dinikmati.
Di lorong lain pula, deretan kedai menjual keju kelihatan sibuk. Blok keju, potongan dan kepingan keju dibungkus rapi mengikut permintaan pembeli. Keju dilabel berdasarkan jenis dan tempoh peraman.
Sebahagian jenis keju biasa didapati di Malaysia seperti keju cheddar, parmesan dan mozarella. Harganya lebih mahal di negara kita kerana keju bukan makanan harian rakyat Malaysia. Hanya pasaraya tertentu mengimport keju dengan pelbagai pilihan. Biasanya pasaraya ini terletak di kawasan elit dan tumpuan expatriat.
Tiga potong keju berlainan jenis dengan harga AUD10 sangat berbaloi bagi penggemar keju seperti Fizah. Kami tidak perasan bila Fizah membeli keju. Dapat juga kami mencuba blue cheese yang terkenal kerana nama dan rasa yang unik.
Blue cheese mempunyai tekstur yang lebih lembut berbanding cheddar. Sejenis kulat penicillum dimasukkan ke dalam adunan. Kulat ini akan merebak semasa proses pemeraman. Apabila keju matang kita dapat melihat jalur atau urat berwarna biru kelabu pada blue cheese.
Bau keju ini lebih kuat berbanding keju cheddar. Bagi yang pertama kali mencubanya, kami mengambil secubit keju dan makan bersama roti. Selain dimakan bersama roti, blue cheese biasanya diletak dalam salad bersama sos dan minyak zaitun.
Bahagian lain ada menjual buah-buahan dan sayur-sayuran segar, rempah, sosej, daging dan bermacam-macam lagi produk keluaran tempatan.
Roti, keju, pastri inti bayam dan minuman coklat panas rezeki kami pagi itu. Agak terkilan tidak dapat meluangkan lebih banyak masa di QVM. Kami harus menaiki keretapi ke Belgrave untuk sampai ke Puffing Billy.
Hari-hari berikutnya kami tidak dapat ke QVM semula. Pasar ditutup pada hari Isnin dan Rabu. Ahad kami ke Philip Island dan dua hari berikutnya mengikuti ekspedisi ke Great Ocean Road. Walaupun kecewa, pada pagi Rabu kami singgah sebentar dan bergambar di luar bangunan QVM sebagai kenangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan